Friday, 27 December 2013

Profile of SMI/SME/IKS Entrepreneurs (10)

1. Salmah Ajis(Nurul Food Industry)

Ia bermula dari rumah dan maju setapak apabila berjaya menyewa kilang kecil bersama usahawan lain sebelum mengukuhkan kedudukan dengan beroperasi di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di Demak Laut Industrial Park, di sini.

Bunyinya cukup mudah. Namun bagi pemilik Nurul Food Industry, Salmah Ajis, perkembangan perniagaannya itu menuntut pengorbanan besar serta kecekalan yang tinggi dalam berdepan dengan apa jua cabaran.

Walaupun sekadar berpendidikan sehingga tingkatan lima dan langsung tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perniagaan, ibu tiga anak ini menyahut cabaran untuk mengukuhkan ekonomi keluarga bermula pada Ogos 1999.

Selepas 12 tahun, beliau kini boleh tersenyum melihat produknya berjaya mendapat tempat di pasaran tempatan seperti kedai runcit, pasar, sekolah dan pasar mini serta pasar raya.
Ditemui di kilangnya baru-baru ini, Salmah yang merupakan ahli Persatuan Nelayan Asajaya/Semera berkata, apabila permintaan semakin meningkat, beliau mendapatkan bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk meningkatkan pengeluaran.

Katanya, beliau mendapat bantuan Geran Peralatan Projek Berimpak Tinggi (HIP) pada 2009 dan setahun selepas itu menerima bantuan RM30,000 untuk membesarkan perusahaannya.

“Bantuan yang diterima pada 2008 serta program mempelbagai serta menambahkan pendapatan pada 2009 selain dinaik taraf kepada HIP oleh LKIM pada tahun yang sama telah membolehkan saya menghasilkan produk berasaskan isi ikan dan sos cili,” katanya.

Antara produk yang turut dihasilkan oleh Nurul Food Industry ialah sos cili ikan tahai, sos cili udang, sos cili, sos tomato, cili boh, kuah rojak dan surimi.

Urus niaga perusahaan itu mencecah antara RM200,000 dan RM300,000 setahun, sekali gus melayakkan beliau mendapat tempat pertama Anugerah Usahawan Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sarawak 2011 di Bintulu, baru-baru ini.

Kejayaan itu merupakan pengiktirafan kepada Salmah sebagai seorang usahawan berjaya yang menjadi contoh serta model bagi usahawan kecil lain yang mengimpikan kejayaan serupa.

Berkongsi pengalamannya dalam dunia keusahawanan, Salmah berkata, seorang usahawan perlu mempunyai sifat dan nilai seperti berani mengambil risiko, berfikiran terbuka dan inovatif.

Katanya, mereka juga mestilah berfikiran luas dan bertindak dengan cekap serta berupaya membuat keputusan dengan cepat dan berkesan.

“Semua sifat ini perlu ada dalam diri seseorang usahawan dan sikap tidak mudah mengalah adalah kunci kepada kejayaan saya,” katanya.

Di sebalik kejayaannya dalam bidang perniagaan itu, Salmah juga tidak terlepas daripada berdepan dengan pelbagai ujian dan kesukaran.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak berputus asa dan sebaliknya menjadikan kesukaran itu sebagai panduan dan pengajaran untuk melakar lebih banyak kejayaan dalam perniagaan.
“Saya pernah ditipu oleh pembekal sehingga mengalami kerugian RM25,000, jumlah yang besar bagi usahawan kecil seperti saya .

“Saya juga pernah ditipu pembeli yang membeli menggunakan kaedah runcit tetapi produk yang diambil tidak dibayar walaupun selepas habis dijual,” katanya.


2.Muslim Best




Muslim Best, syarikat makanan sejuk beku halal dan berkualiti terkenal di negara ini mempelbagai dan memperluaskan produk mereka untuk memenuhi permintaan tinggi di pasaran.

Pengurus Bahagian Francais dan Promosinya, Umi Kalsom Salleh berkata, antara produk yang diperkenalkan adalah nugget, sosej, daging burger, oblong, roti canai, roti pratha serta kuih-muih tradisional seperti cucur badak, donut dan pelbagai lagi.

''Muslim Best akan menambah produk dari semasa ke semasa produk-produk baru bagi memenuhi keperluan isi rumah yang mahukan produk halal dan berkualiti," katanya di sini hari ini. Muslim Best yang begitu dikenali dengan produk murtabak raja, semakin mendapat tempat bukan dalam kalangan pembeli Melayu sahaja, malah turut diminati oleh kaum-kaum lain.

Mengenai dengan murtabak raja pula, beliau memberitahu, produk murtabak raja akan terus mengekalkan keistimewaannya menggunakan daging tempatan 100 peratus berkualiti tinggi dan perencah keluaran Muslim Best dalam menyokong bahan-bahan berasas ciri-ciri makanan 1Malaysia. Menurutnya, antara produk Muslim Best yang mendapat sambut tinggi adalah murtabak raja daging berperisa sos lada hitam, murtabak raja sardin bersos salsa nanas, murtabak raja kari ayam, karipap daging lada hitam, popia cendawan berkeju dan samosa coklat pisang yang banyak dijual di hypermarket seluruh negara.

''Produk-produk Muslim Best dibuat dengan penuh teliti, berintikan 100 peratus daging lembu tempatan dan daging ayam tempatan, sardin berkualiti, cendawan segar disaluti keju, gabungan pisang dan coklat, telur bergred tinggi dan bawang segar," ujar beliau. Ditanya produk lain Muslim Best paling digemari, katanya, produk makanan dikenali karipap Rindu yang paling mendapat permintaan tinggi kerana intinya daripada daging lembu dikisar yang dimasak bersama sos lada hitam, tanpa kentang atau keledek.

Mengenai kos bahan mentah seperti daging lembu tempatan yang berharga hampir RM16 sekilogram pada masa ini, Umi Kalsom berkata, walaupun harganya mahal, Muslim Best lebih mengutamakan kualiti, khasiat dan kepuasan pembeli. Ditanya pasaran produk-produk makanan sejuk beku Muslim Best, beliau memberitahu, produk antaranya seperti murtabak raja mendapat sambutan hangat bukan sahaja di negara ini, malah di negara luar.

Contohnya, beliau memberitahu, pada karnival makanan 1Malaysia Best di Perth, Australia baru-baru ini, murtabak raja berperisa salsa nanas antara menjadi tarikan utama masyarakat Malaysia dan rakyat negara itu. Malah, tambahnya, Muslim Best kini menunggu masa untuk membawa masuk produk-produknya ke Perth selepas mendapat maklum balas dan permintaan hangat daripada masyarakat negara itu sebelum melebarkan sayap ke United Kingdom.

Umi Kalsom seterusnya berkata, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1,000 biji sehari, Muslim Best mampu untuk memasarkan produk di seluruh Malaysia dan mengeksport ke Australia serta United Kingdom. Mengenai perancangan Muslim Best pula, beliau berkata, pihaknya turut menyahut saranan kerajaan memperkenalkan program pemasaran berkonsepkan 1Taman 1Stokis 1Usahawan 1Malaysia dengan matlamat mewujudkan setiap stokis di setiap taman perumahan atau kawasan.

''Muslim Best turut menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan memberi peluang kepada ibu tunggal, suri rumah, kumpulan pekerja dari sektor awam dan swasta berkecimpung dalam perniagaan ini dengan modal serendah RM1,000," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan menambahkan bilangan stokis kepada 200 orang menjelang akhir tahun ini dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 03-80622780/ 80622781 atau layari facebook MuslimBest Group.


3. Noraini Cookies Worlwide Sdn.Bhd




Dua puluh enam tahun lalu Noraini Ahmad merupakan seorang petugas firma insurans di siang hari dan menguruskan perniagaan bakeri Noraini's Cookies di rumahnya pada sebelah malam.

Beliau mengupah suri-suri rumah di kawasan kejiranannya untuk membantu membuat pelbagai kuih-muih tradisional Melayu dan konfeksi yang beliau kemudian bekalkan kepada kafeteria serta kantin sekolah.

Perniagaan sampingan ini membolehkan beliau meraih purata pendapatan RM4,000 sebulan.

Bakat beliau dalam membuat kuih menarik perhatian seorang chef hotel yang kemudian menempah kuih-muihnya untuk hotel itu.

Selepas itu, hotel-hotel utama lain, restoran serta pasar raya turut ikut serta. Produk Noraini juga menjadi juadah di konvensyen tahunan Umno di PWTC.

Pada masa itu beliau mendapat pulangan sehingga RM20,000 sebulan.

Apabila beliau mula menerima tempahan bagi kuih-muih Melayu dan biskut untuk sambutan Hari Raya, Noraini membuat keputusan berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuh masa kepada perniagaan.

Pada 1994 Noraini melabur RM25,000 untuk memperbadankan Noraini Enterprise Sdn Bhd, yang membuat kuih-muih dan biskut khusus untuk musim perayaan di sebuah rumah kedai berdekatan pasar malam Paya Jaras di Sungai Buloh.

Produknya boleh dikatakan dibekalkan kepada hampir semua penjual tepi jalan di Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman setiap Ramadan. Syarikat ini mencatatkan pulangan sebanyak RM70,000 di musim perayaan pertamanya.

Perniagaan beliau terus meningkat maju dan pada 1997 kilang syarikatnya berpindah ke Kampung Sungai Pelong di daerah Petaling. Bagaimanapun, tidak sampai setahun kemudian perniagaannya dilanda musibah akibat kegawatan ekonomi. Jualan merudum teruk.

Noraini terpaksa bertungkus-lumus untuk menyelamatkan perniagaannya tetapi akhirnya operasi syarikat terhenti sementara. Bagaimanapun, di sebalik musibah ini muncul pula peluang baru. Untuk mencari rezeki hidup, Noraini membuka sebuah gerai di Plaza Angsana di Johor Baharu yang menjual kuih muih dan konfeksi.

Usaha beliau ini menerima sambutan baik dengan hasil jualannya mencecah hampir RM1,000 setiap hari. Selama empat tahun yang berikut perniagaannya itu terus meningkat maju dan ia turut membabitkan sebuah restoran khusus menjual pelbagai jenis laksa dan masakan Melayu tradisional.

Sementara itu, kilang biskutnya di Selangor kembali beroperasi. Kedua-dua perniagaan berkembang pesat – kilang ini menyaksikan pulangan RM150,000 setiap musim sementara perniagaan di Johor Baharu diperluas kepada 17 buah gerai meliputi seluruh Lembah Klang dan juga sehingga Ipoh.

Bagaimanapun hasil bulanannya tidak lagi meningkat memandangkan pasaran tempatan sudah tepu. Beliau kemudian memutuskan untuk menceburi perniagaan di luar negara.

Pada 2004 beliau menubuhkan Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd dan menjenamakan produknya selain memasarkannya dalam bungkusan yang lebih menarik bersama logo rasmi syarikat. Pihak pengurusan syarikat mengambil bahagian dalam pelbagai program latihan, dan kempen promosi perniagaan tempatan dan antarabangsa yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Mara, MeCD, Fama, dan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd (Komita).
Syarikat ini turut menyertai pameran antarabangsa seperti MAHA, MIHAS dan acara yang dianjurkan oleh Malaysia Trading House di United Kingdom, produk beliau menembusi pasaran Singapura, Brunei, Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam, United Kingdom, Mauritius, Afrika, Nigeria, Mahgribi dan Dubai.

Nasib menyebelahi usahawan yang bertekad tinggi ini, dan pada sesi sepadanan perniagaan MIHAS 2006, seorang perwakilan dari Kazakhstan menunjukkan minat untuk menjalin usahasama.

Ini membawa kepada sebuah usahasama dikenali sebagai Atamekent Noraini, yang mempunyai pelaburan dalam pengeluaran makanan, ladang tenusu dan gandum, serta perniagaan hotel dan restoran di Kazakhstan.

Restoran Astana Nura menawarkan pelbagai laksa Malaysia kepada warga Kazakh. Sementara itu, berbalik ke Malaysia, jualan bermusim mencecah RM1.5 juta pada 2007 dan seterusnya meningkat kepada RM2 juta pada musim berikutnya.

Banyak tempahan baru dan tempahan berulang diterima yang bermakna pengeluaran perlu dipertingkat dan memerlukan sebuah permis perniagaan yang lebih besar serta peralatan yang lebih baik.

Oleh itu pada 2008, Worldwide Cookies milik Noraini memperoleh sebuah lot kilang dua tingkat dan sebuah ketuhar automatik sepenuhnya.


4. Dato’ Haji Ramly Bin Mokni (Ramly Burger)



Ramly Mokni merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang telah mengecapi dan mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan dengan begitu cemerlang dan patut diteladani oleh usahawan-usahawan bumiputera yang lain. Kejayaannya bukanlah dapat dinikmati dalam sekelip mata, tetapi terpaksa mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan. Dengan berbekalkan keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya dari gerai menjual burger sehingga membuka kilang untuk mengeluarkan daging burger dari 300 keping sehari kepada 30 tan daging sehari selepas 20 tahun dengan jualan tahunan kini mencatat RM42 juta.

Daripada pemerhatian beliau semasa bekerja sebagai pemotong daging di sebuah pasar raya di ibu kota pada awal 1970an di mana kebanyakan makanan sejuk beku yang tidak pasti halal haramnya, telah mencetuskan idea beliau untuk menghasilkan daging burger dan sosej yang ditanggung halal untuk dimakan oleh umat Islam di negara ini. Sifat beliau ini jelas menunjukkan beliau adalah seorang yang bijak merebut peluang dan berdaya kreatif dan inovatif serta berpandangan jauh. Selain itu, beliau tidak pernah putus asa walaupun usahanya pernah diperlekehkan oleh masyarakat dan juga pihak bank yang telah menolak permohonan pinjamannya. Namun, dengan simpanan sendiri dan juga bantuan pinjaman yang diberikan oleh Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad telah membolehkannya mengorak langkah untuk memajukan perniagaannya. Sekaligus telah membuktikan peranan agensi kerajaan adalah amat penting.

Beliau juga mengakui bahawa sokongan keluarga adalah amat penting untuk mendorongnya terutamanya isterinya yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya dan beliau telah mengatakan bahawa kejayaannya adalah hasil sokongan kuat keluarga. Di samping itu, beliau sentiasa memegang kepada prinsip kejujuran, menitikberatkan mutu barangan yang dihasilkan, keutamaan dan pandangan pelanggan terhadap barangan keluaran syarikatnya tidak pernah diambil ringan. Sebarang rungutan dan ketidakpuasan hati oleh pelanggan, beliau pasti akan memperbaiki mutu produknya dengan berjumpa dengan pelanggan tertentu dengan kadar segera untuk mengetahui masalahnya. Ini dapat jelas menggambarkan corak pengurusan beliau yang sangat cekap dan efisyen dalam menangani sebarang masalah yang timbul. Hasil kegigihan beliau, beliau telah dianugerahkan beberapa kali Anugerah Usahawan Terbaik .


6. Faiza Bawumi Sayed Ahmad (Syarikat Faiza Sdn.Bhd)




Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita kelahiran Mesir ini telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut suaminya.  Pada ketika itu, beliau mampu menguasai Bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia kerana sifat beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya. Meskipun  sudah berusia lingkungan 60an, beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga seorang nenek kepada 32 cucu sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini. 

Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan perlu berada di landasan betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun. Puan Faiza yang memangnya dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan. Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama, beliau mengikut  suaminya berhijrah ke Malaysia. Puan Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukannya bagi mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Beliau bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 dan menjual pelbagai barangan dapur. Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya, beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya.

Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering, cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.

Selang beberapa tahun kemudian, Puan Faiza membeli pula sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan modal daripada menjual rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar pelbagai jenis beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam setelah mendapat maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu kedai ke satu kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Para pelanggan yang melanggan rempahrempah beliau turut membeli beras daripadanya.

Pada permulaan, beliau agak buntu melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun beliau nekad dengan berusaha membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor.

Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat persaingan yang agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil peluang ke atas kepekaan masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan kandungan makanan. Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”.  Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB memperkenalkan beras  “Ponni” ini ke seluruh Malaysia.

Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui status halalnya.

Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar dan turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan. Puan Faizah berkata semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.

Puan Faiza menyarankan agar umat Islam di negara ini supaya hidup bersatu padu supaya tidak mudah ditindas oleh bangsa lain dan hubungan yang kukuh sesama umat Islam bukan sahaja mampu memajukan masyarakat Islam di negara ini, malah mampu meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat tersebut.

Puan Faiza berkata pengalamannya berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain. Beliau sentiasa mencontohi keperibadian Nabi Muhammad S.A.W dalam menjalankan kehidupan seharian, terutama amanah dan gigihnya Baginda Rasullulah dalam menjalankan perniagaan serta dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

7. Zinon Food Industry
Zinon Food Industry Sdn Bhd menyasarkan perolehan syarikat meningkat sehingga RM1 juta bagi semua jenis produk menjelang 2013 berbanding RM500,000 tahun sebelumnya.

Pengurus Besarnya, Saiful Hisham Omar berkata, syarikat yakin pengeluaran produk meningkat daripada 5,000 paket kepada 10,000 paket pada tahun hadapan.

Menurutnya, syarikat juga merancang menambah jumlah produk sedia ada dalam pelbagai segmen makanan, di mana akan bermula dengan mi segera tinggi serat.

“Kami akan menambah produk baru dari segmen rempah ratus seperti 40 resipi masakan ready to cook (RTC) dari seluruh Malaysia.

“Produk RTC menjadi pilihan syarikat kerana ia mudah, sedap dan cepat untuk dimasak serta sesuai dengan gaya hidup masyarakat masa kini,” katanya kepada Sinar Harian.

Saiful berkata, buat masa ini syarikat mempunyai lebih 16 produk yang boleh didapati di pasar raya terkemuka negara termasuk Tesco, Carefour, Mydin dan rangkaian kedai serbaneka Muslim seperti Az-zain.

Katanya, semua produk itu dapat diperoleh dengan harga berpatutan serendah RM1.2O sehingga RM4 bagi setiap paket.

“Perniagaan yang dimulakan pada 1987 ini yakin produk yang dikeluarkan akan menarik minat pengguna terutama umat Islam kerana menjimatkan masa, tiada bahan pengawet, 100 peratus keluaran Muslim dan mempunyai sijil Halal, SK1M dan 1 Malaysia Best yang diiktiraf kerajaan.

“Slogan sedap, mudah, cepat menepati ciri, kualiti dan cita rasa produk digunakan agar kepuasan pengguna sentiasa diutamakan,” katanya.

8. Dato Wan Mohammad Sani Salleh (Sani United Sdn.Bhd)




Kisah dan Pengalaman

Sifat cemburu kepada kejayaan rakannya telah menjadikan Dato Wan Mohd Sani berusaha gigih dan bersungguh-sungguh utk berjaya, rakan baik beliau juga yg sentiasa terbuka utk membantu dan membimbing beliau juga wajar kita contohi. Sesungguhnya sifat kikir utk berkongsi ilmu dan busuk hati tidak wajar ada pada setiap individu yg hendak berjaya. Diharap perkongsian cerita pada kali ini dapat memberi manafaat pada kita semua.

PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Dengan deposit RM500,000, kereta berwarna merah darah dengan janaan kuasa enjin V8 itu menjadi haknya tanpa ragu-ragu lagi.

Bagi Sani, jika mampu apa salahnya mengeluarkan wang saku sebanyak RM14,000 sebagai bayaran bulanan asalkan kepuasan memandu kereta berkuasa tinggi.

"Minyak isi penuh RM200, sekadar boleh memandu di bandar Kuala Terengganu untuk dua hingga tiga hari. Jika menuju ke Kuala Lumpur memerlukan kira-kira RM250," katanya.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.


9. Syarikat Mudim Sdn.Bhd



Perniagaan Mudim Zakaria ( MUDIM ) telah diasaskan oleh Tuan Haji Zakaria Bin Arshad yang juga dikenali sebagai Mudim Zakaria. Bermula dengan perniagaan ubat-ubatan tradisional secara kecil-kecilan di kampung, perusahaannya bertambah maju dengan usaha gigih yang dilakukannya. Kemudiannya pada tahun 1987, beliau berjaya menambah barisan keluaran produknya dengan menjadi pengeluar kicap dan sos. Perkembangan dan kemajuan MUDIM juga turut dibantu oleh kesungguhan anak beliau iaitu En. Shaarani Bin Zakaria yang kini telah dipertanggungjawabkan mengambil alih pengurusan syarikat.

En. Sharaani Bin Zakaria merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik. Beliau dilahirkan pada 8 Oktober 1960 di Kampung Jelutong, Mukim Tobiar , Pendang, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Penghulu Jusuh, Pendang, Kedah, kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Pendang, Kedah dan beliau berjaya lulus Sijil Pelajaran Malaysia. Setelah itu, beliau menamatkan pengajian tingkatan enam di Sekolah Persatuan Belia Bimbingan.
Di awal usia 20-an, En. Shaarani telah menceburkan diri dalam dunia perniagaan dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada bapanya. Walupun ketika itu hanya perniagaan keluarga yang diusahakan secara kecil - kecilan, beliau tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukannya. Beliau begitu komited terhadap setiap kerja yang dilakukan  dan berazam untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Melihat keyakinan dan kesungguhannya yang mendalam terhadap  pengeluaran kicap dan sos, bapanya memberi beliau galakkan dan sokongan sepenuhnya untuk mengembangkan perusahaan tersebut. Bagi memantapkan diri beliau dalam dunia perniagaan, beliau begitu komitmen menghadiri pelbagai kursus yang dianjurkan oleh pihak yang berkenaan seperti MARDI, MARA, MADA, FAMA dan SIRIM.

Bagi memantapkan lagi produk MUDIM di dalam pasaran, En. Shaarani telah menyertai beberapa ekspo produk makanan anjuran pihak-pihak yang berkenaan. Antaranya Ekspo MIHAS di Melaka, Ekspo IAT di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur dan Ekspo MAHA di Serdang, Selangor. Kesan daripada itu, permintaan terhadap produk keluaran MUDIM semakin meningkat. Permintaan kepada produkMUDIM bukan sahaja dari pasaran tempatan malah dari pasaran luar negara juga. Ini membuktikan En. Shaarani telah berjaya meletakkan jenama ‘MUDIM’ di pasaran global.
Berkat doa restu daripada ayah dan bonda tercinta, keluarga tersayang dan seluruh wargaMUDIM yang gigih berusaha, kini En. Shaarani merupakan usahawan bumiputera yang berjaya menjadi pengeluar kicap, sos, dan cuka. Beliau juga berjaya meletakkan jenama ‘MUDIM’sebaris dengan pesaing yang lain di pasaran. Walaupun begitu beliau masih tekun berusaha memajukan perniagaannya dan berazam untuk menjadi pengeluar kicap dan sos terunggul di Malaysia.



PRODUK KELUARAN MUDIM
Syarikat MUDIM menawarkan pelbagai barangan atau produk yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan dalam pelbagai saiz yang mengikut keperluan pengguna. Antara produk keluaran MUDIM ialah Kicap Istimewa, Kicap Manis, Kicap Lemak Manis, Sos Cili dan Cuka Buatan.

BAHAN MENTAH
Produk utama yang dikeluarkan oleh Syarikat MUDIM adalah kicap, sos, dan cuka. Oleh itu, syarikat MUDIM mendapat pembekal utama dari Pulau Pinang yang membekalkan bahan mentah untuk pengeluaran produk MUDIM. Bahan mentah yang digunakan oleh syarikat MUDIM adalah seperti soya, caramel, gula, garam tepung, bahan pengawet dan perisa makanan yang dibenarkan. Hubungan yang baik dengan pihak pembekal menyebabkan syarikat MUDIM tidak mempunyai masalah mengenai bahan mentah dan hantaran bahan mentah akan sampai pada waktunya.
Bahan mentah biasanya akan dihantar seminggu sekali mengikut keperluan operasi agak stok tidak terlalu banyak atau tidak terlalu sedikit. 



Keadaan ini adalah untuk megelakkan kerugian akibat lebihan stok. Pengurusan operasi syarikat MUDIM agak cekap dan mampu membahagikan tugas kepada pekerja yang boleh melakukannya dengan baik. Oleh itu. Hasil pengeluaran produk MUDIM dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Keuntungan yang diperolehi meningkat dari tahun ke tahun berikutnya membolehkan syarikat MUDIM mengubahsuai kilang dan memperluaskan kilang agar operasi lebih banyak dapat dijalankan.


10. Ali Hassan Mohd Hassan (Al-Ikhsan)



Pada permulaannya Ali Hassan Mohd Hassan hanya menjual barangannya secara kecil-kecilan kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau ketika beliau masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.


Beliau juga bekerja sambilan sebagai penghantar piza untuk menampung perbelanjaan pengajian dan sara hidup. Meskipun beliau juga menerima biasiswa, beliau memberitahu yang kesemuanya diberikan kepada ibu beliau “kerana kami bukan orang senang.”


Dalam berusaha tanpa mengenal jemu dalam pelajaran dan menyara kehidupan ketika itu, beliau akhirnya berjaya mendapat Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 1993. Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung untuk mengusahakan perniagaan.


Perniagaan pertama Ali Hassan bermula pada tahun 1993 di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri. Beliau mula mengusahakan perniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.


“Ketika itu, memang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas.


“Dapat sahaja barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja asalkan boleh dijual,” katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya.


Beliau menyatakan dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada, antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha. “Walaupun kita gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada.


“Ini penting untuk kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun. Bila orang melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya.


“Apa sahaja kita kena sabar…. perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka ‘komplen’,” katanya yang berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih baik lagi.


“Saya masih ingat lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit dan banyak kekurangan. Itu tidak ada…ini tidak ada. Jadi, saya berusaha mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.


“Ambil sahaja apa ‘komplen’ pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu melihat perniagaan kita berkembang,” katanya.


Resipi kejayaan selama ini yang didukung dalam diri Ali Hassan sebenarnya berpaksikan sepenuhnya kepada tuntutan dalam agama Islam.


“Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah.
Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.


“Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya… kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar,” jelasnya.


Selain pegangan kukuh pada tuntutan agama, senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua lapisan masyarakat.
“Apa yang paling penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi.


Kini terdapat sebanyak lebih dari 75 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud yang menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya. Malahan kebanyakan produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai ini. Setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di AL-ikhsaN pada hari yang sama.


Pada penghujung 2010, aL-ikhsaN juga telah mula merancang membuka kedai sukan untuk wanita dikenali Al-Ikhsan Sports Girl. Menurut Ali, pembukaan premis ini untuk memenuhi tuntutan para pelanggan wanita yang menyatakan bahawa pakaian serta kelengkapan sukan berkualiti tinggi jenama terkemuka sukar diperoleh dalam pasaran tempatan. Jelas sekali dengan mendengar feedback dari pasaran, AL-ikhsaN mampu bertahan, malah berkembang dengan jayanya.

Kini, rangkaian kedai aL-ikhsaN adalah nama besar dalam kalangan anak muda hari ini yang menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah.


Kejayaan Ali Hassan mengembangkan kedai aL-ikhsaN ini diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada usahawan Melayu yang sering dianggap stereotaip dengan kisah kegagalan, untuk berusaha tanpa mengenal jemu, beristiqamah, sambil mempelajari untuk mendengar kehendak pelanggan dalam membina perniagaan.


Ali Hassan membuktikan kebenaran pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.