Friday, 27 December 2013

Profile of Successful Entrepreneurs in Health & Wellness (10)

1. Syarifah Raishaton Syed Zakaria (Pengasas Kak Chah Beauty & Spa)

Malah, perkataan menyesal tidak wujud dalam kamus hidup wanita dari Kampung Selamat, Kuantan ini.

Ini kerana baginya, rezeki ada di mana-mana, apa yang penting keazaman dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan sentiasa tertanam di sanubari.

Sesuatu yang istimewa dimiliki wanita ini apabila tidak pernah jemu mempelajari apa juga perkara berkaitan kecantikan. Tanyalah apa saja padanya, jawapannya sentiasa ada.

"Saya memang gila belajar dan akan terus mencari apa jua ilmu mengenai kecantikan untuk memantapkan lagi perniagaan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.

Sambil merendah diri, Sharifah mengaku bukan daripada kalangan bijak pandai, tetapi sikap suka membaca dan bertanya banyak membantunya memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan untuk dimanfaatkan dalam penghasilan produk dan servis yang diberikan kepada pelanggan.

"Prinsip saya mudah saja, kalau kita belajar semua benda akan menjadi senang umpama pelajar sekolah yang perlu belajar untuk menjadi seorang yang pandai dan berilmu.

"Begitu juga saya, jika tidak belajar, bagaimana mahu mendapatkan ilmu mengenai produk yang hendak dikeluarkan," kata ibu kepada Sharifah Alamiah, 25, Sharifah Ibadatun, 20 dan Sharifah Nurul Alia, 13, ini.

Bagi membuktikan kesungguhannya itu, Sharifah tidak segan bertemu dan berguru dengan pengamal perubatan tradisional, doktor, golongan profesional, malah pengusaha kedai herba Cina di seluruh berhabis wang ringgit termasuk menghadiri kursus kecantikan dan persolekan.

"Saya tidak akan berhenti belajar kerana sudah menjadi resam dunia, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan," katanya yang mesra dengan gelaran Kak Cah sejak remaja.

Sharifah adalah pemilik pusat rawatan kecantikan, Kak Chah Beauty & Spa yang beroperasi di Taman Pasdec Aman, Indera Mahkota sejak enam tahun lalu.

Pusat rawatannya itu menumpukan kepada perkhidmatan salun dan spa secara tradisional menggunakan produkrumusan sendiri iaitu lulur tradisional Ratu Emas, warisan turun-temurun keluarga arwah ibunya, Sharifah Faridah Syed Umar.

Lulur Ratu Emas yang dihasilkan sejak lima tahun lalu itu terdiri daripada beberapa jenis lulur termasuk lulur coklat, kopi, teh hijau, daun gelenggang, kelapa, kayu manis, halia dan lava gunung berapi.

Pada 2005, perniagaannya diperluaskan dengan mengendalikan kursus seni kecantikan dan rawatan spa di premis perniagaannya yang menyediakan kelengkapan bilik latihan teori dan praktikal.

"Saya juga bersyukur kerana pelajar saya terutama ibu tunggal yang mengikuti kursus di sini berjaya membuka perniagaan di tempat masing-masing," katanya yang menganjurkan kursus rawatan kecantikan kepada golongan ibu tunggal, tiga tahun lalu.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, Sharifah yang bertindak sebagai pengurus operasi dan tenaga pengajar di situ bermula sebaik saja menamatkan kursus seni solek dengan memperoleh sijil juru kecantikan di Pusat Latihan Belia Negara, Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 1983.

Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun berkenaan dan berpindah ke Kuala Lumpur mengikut suami, Syed Ali Syed Kamaruddin, 55, yang bertugas sebagai arkitek di syarikat swasta, Sharifah membuka pusat rawatan dan spa kecantikan di rumah.

"Tidak lama di Kuala Lumpur, saya mengikut suami bertugas di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 1988 dan sekali lagi membuka pusat rawatan di rumah kerana enggan berenggang dengan anak sebelum kembali ke tanah air tujuh tahun kemudian," katanya.

Adat dalam perniagaan, dia turut terkena tempias jatuh bangun dalam bidang terbabit.

"Tetapi saya bersikap positif dan tidak cepat melatah. Bagi saya, itu asam garam dunia perniagaan, kita sentiasa diuji sama ada secara terang-terangan atau sebaliknya.

"Bagi saya, jalan penyelesaiannya hanya satu, berserah kepada Allah Taala kerana Dia yang menentukan rezeki kita tetapi pada masa sama, kita berdoa supaya musibah itu tidak berpanjangan," katanya.

Bagi menjamin setiap produk mendapat sambutan pelanggan, Sharifah sentiasa membuat penambahbaikan produk.

Bagi memudahkan urusan, dia mewujudkan sebuah makmal kecil untuk menjalankan uji kaji terhadap produk yang bakal dikeluarkan.

"Walaupun makmal ini tidak sebesar mana, saya senang berada di situ, menterjemahkan hasrat dan keinginan saya memberi yang terbaik kepada pelanggan," katanya yang juga pernah mengikuti kursus kecantikan di Jakarta.

Wanita ini juga berkebolehan menghasilkan minyak aromaterapi dan pernah mengeluarkan produk aromaterapi pelbagai bau yang menyegarkan.

Malah, dia bersedia berkongsi kepakarannya di kalangan mereka yang berminat dalam penghasilan minyak aromaterapi daripada campuran pelbagai ekstrak bunga-bungaan terpilih.

Hasil perjuangannya di bidang kecantikan yang melebihi 10 tahun, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia memberi tauliah kepadanya untuk menjalankan kursus juru kecantikan dan juru estetik tahap satu dan dua, dua tahun lalu.

Sejak tahun lalu, dia bergelar Pakar Industri Negara (Pengajaran) Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi bidang perubatan dan farmaseutikal dengan pengkhususan perkhidmatan kesihatan dan kecergasan.

Selepas kursus Induksi Pentauliahan Pensijilan Kemahiran Malaysia, dia turut dilantik sebagai Pegawai Pengesah Luaran dan Pegawai Penilai-Pentauliahan Pencapaian Terdahulu di bidang kecantikan tahun lalu.


Sumber: Harian Metro

2.Yuslaily Yunus ( Pengasas Qurratu Millionaires Group )

SEMANGATNYA tidak mudah patah meskipunramai yang mentertawakan Yuslaily Yunos kala menyuarakan hasrat untuk mengubah kehidupannya dan keluarga kira-kira 16 tahun lalu.

Bagi mereka, apalah yang boleh dilakukan oleh remaja berusia 17 tahun terutama baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) selain bekerja mengikut pengkhususan yang diambil ketika berada di sekolah vokasional atau memohon pekerjaan di kilang sementara menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Namun, keputusan Yuslaily untuk lari daripada norma karier yang pernah dilakukan abang serta kakaknya mengundang pelbagai reaksi di kalangan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling yang kebanyakannya lebih terarah kepada pandangan negatif.

"Selepas tamat peperiksaan SPMV di Sekolah Menengah Vokasional Kajang, Selangor (jurusan penyejukan dan penyamanan udara), arwah ibu minta saya mencari kerja di kilang dalam Kawasan Perindustrian Beranang memandangkan ia berhampiran rumah kami.

"Tapi, pelbagai alasan saya berikan kerana saya sama sekali tidak berminat untuk bekerja di kilang kerana merasakansaya berpotensi untuk melakukan sesuatu yang berbeza bagi memperbaiki kehidupan diri sendiri dan keluarga.

"Saya tidak pernah memperlekehkan pekerjaan di kilang, malah saya amat menghormati dan menyanjung tinggi abang dan kakak saya yang pernah mencari rezeki bekerja sebagai pekerja kilang.

"Saya hanya ingin mengubah persepsi di kalangan ahli keluarga bahawa walaupun kita bukan orang berada, kita masih ada pilihan dan masih lagi boleh mengubah keadaan.

"Bagi saya, kita tidak berserah semata-mata kepada takdir, tapi kita perlu berusaha ke arahnya dan itulah yang saya cuba lakukan bagi mengubah kualiti kehidupan sendiri dan keluarga," katanya.

Biarpun ramai yang mempertikaikan dan mengejek hasratnya untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada rakan sebaya, wanita berasal dari Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang ini terus yakin dia mampu mengukir kejayaan tersendiri.

Penghijrahannya ke Kuala Lumpur nyata membuka banyak laluan kepada Yuslaily meneroka pelbagai peluang tatkala bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah firma arkitek terkemuka negara.

"Walaupun hanya sebagai penyambut tetamu, skop pengetahuan saya makin luas dan ia banyak membantu saya lebih mengenal diri, berani dan yakin berhadapan dengan orang korporat.

"Kebetulan ketika itu banyak projek utama negara dijalankan oleh syarikat, jadi saya dapat mengambil sedikit ilmu dan pengalaman daripada beberapa arkitek di pejabat itu.

"Bermula daripada situ, saya mula menetapkan impian untuk meningkatkan taraf kehidupannya menerusi bidang perniagaan dan tidak lagi bergantung kepada kerja makan gaji," katanya.

Peluang bagaikan datang bergolek kepadanya selepas itu apabila ada seorang kerani yang sarat mengandung memerlukan perkhidmatan urut selepas bersalin.

Atas kekangan bajet yang disuarakan kerani itu, Yuslaily terus menawarkan khidmat itu walaupun tidak pernah mengurut orang lain selain ahli keluarganya.

"Disebabkan saya anak ke-11 dalam keluarga dan mempunyai ramai adik-beradik perempuan, saya yang sering menjadi pembantu arwah nenek setiap kali kakak saya bersalin.

"Saya membantu arwah menjaga dan merawat mereka ketika berpantang. Jadi, ilmu perbidanan itu secara tidak langsungsaya warisi dan saya praktikkan ke atas ahli keluarga yang lain," tambahnya.

Promosi mulut ke mulut akhirnya membawa Yuslaily menjelajah serata tempat di seluruh Malaysia sehingga ke Singapura, Indonesia, China, Thailand dan Arab Saudi.

Dengan kudrat yang ada serta yakin dengan kemampuannya, wanita peramah ini mengambil keputusan memulakan perniagaan berteraskan penjagaan badan selepas bersalin yang jarang diusahakan orang lain ketika itu.

Berbekalkan kemahiran berkomunikasi yang diperolehnya ketika bekerja sebagai penyambut tetamu sebelum ini, usahawan muda ini bertemu beberapa pengusaha jamu di seluruh Malaysia untuk menjadi pembekal produk bengkung syarikat mereka.

"Saya pernah membuka spa di Ampang beberapa tahun lalu, tapi tidak berjaya kerana wujud pelbagai masalah birokrasi. Lalu, saya terus mendapat idea untuk menjalankan perniagaan yang boleh membantu golongan ibu mengembalikan bentuk tubuh mereka selepas bersalin.

"Atas bantuan suami yang turut terbabit dalam perniagaan, kami memulakan perniagaan bengkung ini secara kecil-kecilan sebelum kami berjaya mendapatkan lebih ramai pelanggan dari syarikat besar.

"Kini syarikat saya, Qurratu Millionaires Group menjadi pengilang, pengeluar dan pembekal bengkung terbesar di Malaysia. Selain menghasilkan bengkung untuk syarikat popular tempatan, saya turut mengeluarkan jenama sendiri, Qurratu Eksklusif dengan beberapa pengedar di Semenanjung Malaysia," katanya.

Impiannya untuk mengubah kehidupan keluarga akhirnya tercapai dan ilmu perniagaannya kini dititipkan di kalangan tiga puterinya, Qurratu´ Aini, 12, Qurratu´ Aina, 10, dan Qurratu Aqilah yang baru berusia lima tahun.

Anak sulungnya giat menjalankan perniagaan telekung kanak-kanak, anak kedua dengan perniagaan tudung dan si bongsu pula menghasilkan tasbih. Semua produk mereka dijual secara dalam talian.

"Pada awalnya saya dan suami yang memberikan idea untuk mereka memulakan perniagaan sendiri. Apabila sudah menyesuaikan diri, kami kini hanya memantau aktiviti perusahaan mereka dengan memikirkan kaedah yang lebih inovatif bagi memasarkan produk mereka.

"Walaupun mereka seronok menjalankan perniagaan ini, kami tetap mementingkan pelajaran mereka dan mereka masih menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Biasanya mereka hanya sibuk melakukan aktiviti perniagaan ini pada hari minggu dan cuti sekolah," kata Yuslaily lagi.

Banyak hasil produk puterinya ditempah orang kenamaan, jabatan kerajaan dan swasta yang ingin menyumbangkan telekung, tudung dan tasbih kepada rumah anak yatim, ibu tunggal, majlis agama dan sebagai cenderamata majlis perkahwinan.

Sumber: Berita Harian

3.Winnie Loo (Pengasas A Cut Above)

NAMANYA bukan lagi asing dalam industrikecantikan tempatan. Selama tiga dekad, wanita ini terkenal menerusi jenama A Cut Above, walhal dia yang mesra dikenali sebagai Winnie lebih dulu memulakan kerjaya menerusi dunia solekan wajah.

Besar sumbangan pengasas salun kecantikanrambut A Cut Above ini dalam industri kecantikan. Lebih membanggakan keupayaannya bukan saja mendapat pengiktirafan dalam negara malah pada peringkat antarabangsa. Lebih menarik, kejayaan dikecapi dalam dunia yang rata-rata didominasi lelaki.

Winnie adalah anak Malaysia pertama yang diberi pengiktirafan dalam World Master of the Craft (Guru Seni Dunia) oleh kumpulan pengamal seni dan fesyen di New York, pada 1997. Penghargaan tidak berhenti di situ, pengiktirafan demi pengiktirafan diterima sehingga kini.

Tahun ini saja, Winnie diberi kepercayaan untuk menjadi perunding pendandan rambut untuk pereka fesyen terkenal, Jose Duran pada Minggu Fesyen New York. Beliau juga dicalonkan sebagai `Great Women Of Our Time Award´ oleh majalah The Malaysian Women´s Weekly selain menerima anugerah `Master of Her Craft´ dari majalah Malaysian Tatler.

Meneruskan pembabitan dalam dunia kecantikan rambut serta aktif dalam bidang solekan wajah, beliau turut diberi pengiktirafan dan terpilih sebagai sebagai jurusolek pertama mewakili Malaysia menerusi jenama kosmetik terkemuka dari Amerika Syarikat, Max Factor.

Winnie berkata, beliau tidak menempa nama dalam industri kecantikan menerusi bakat menyolek tetapi membina nama menerusi empayar kecantikan rambut. Ini berikutan ketika era 70-an dan 80-an dulu, wanita tidak akan mengeluarkan belanja banyak hanya untuk solekan tetapi industri dandanan rambut dilihat mampu bertahan lama.

"Wanita ketika itu berpendapat, mereka boleh bersolek sendiri dan tidak perlu mengeluarkan belanja lebih. Cukup sekadar menyapu bedak pada wajah, menyapu gincu pada bibir dan alis mata, namun untuk rambut, ada yang ingin mendandan di salun. Hakikatnya, solekan juga perkara penting dalam penampilan wanita.

"Saya mengasah bakat dan belajar menyolek kerana minat tampil menarik terutama pada wajah dan saya lihat duniasolekan mampu pergi jauh pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di kaunter jualan Max Factor di Metrojaya, Mid Valley Megamall, di sini, baru-baru ini.

Bagi Winniekecantikan bukan membabitkan fesyen pakaian semata-mata. Selari dengan penampilan hebat selain dandanan rambut, teknik solekan menjadi pakej lengkap supaya wanita nampak lebih yakin ketika ke mana saja, terutama ke pejabat, majlis glamor serta acara berprestij.

Menyimpan bakat kreatif serta menyimpan visi tersendiri untuk membawa jenama Max Factor lebih dikenali di rantau Asia,Winnie dipilih oleh Max Factor sebagai artis pertama dan jurusolek eksklusif dari Malaysia.

Malaysia adalah pasaran ke-75 Max Factor, yang ditubuhkan secara rasmi pada 1909. Pelancaran Max Factor di Malaysia berlangsung baru-baru ini di Luna Bar di Menara PanGlobal Kuala Lumpur. Pada majlis itu, Max Factor turut melancarkan produk terbarunya, maskara False Lash Effect, yang kini mencatatkan jualan tertinggi dalam pasaran global.

Menerusi penggunaan berus yang terbesar dikeluarkan oleh Max Factor, maskara berkenaan memberi kesan bulu mata lentik dan tebal tidak ubah seperti pemakaian bulu mata palsu namun masih mengekalkan keaslian bulu mata sebenar.

Maskara False Lash Effect dengan dikeluarkan dengan teknologi berus iFX yang direka khusus untuk menebalkan helaian bulu mata hingga ke bahagian hujung tanpa ketulan.

Produk kecantikan bulu mata itu mengandungi formula Liquid Lash yang dipatenkan. Berus baru itu menampilkan 50 peratus lebih bulu dan teras 25 peratus lebih besar. Formula berkenaan membantu menebalkan bulu mata dengan mengekalkan keanjalannya.

Maskara False Lash Effect didatangi dengan dua warna iaitu rangkaian regular menerusi warna hitam dan biru pekat sementara waterproof pula tampil dengan warna hitam serta hitamcoklat. Produk berkenaan boleh didapati di rangkaian Parkson, Metrojaya, Isetan serta Pacific seluruh negara pada harga RM66 setiap satu.


Sumber: Berita Harian

4. Zetty Syazleen Ismail (Pengarah Eksekutif One Drop Perfumes)

MEMBAHAGI masa antara keluarga dan kerjaya bukan sesuatu yang mudah untuk seorang wanita apatah lagi jika ia membabitkan dua negara beribu-ribu kilometer jauhnya.

Namun, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Zetty Syazleen Ismail sebelum ini tidak begitu dikenali ramai tetapi sejak haruman One Drop Perfumes (ODP) memasuki pasaran, namanya mula menjadi sebutan.

Malah, sebagai perintis yang mengkomersilkan wangian tanpa alkohol di Malaysia empat tahun lalu, One Drop Perfumes kini menjadi fenomena di kalangan masyarakat dengan namanya terus kukuh di pasaran wangian tempatan.

Haruman berkenaan salah satu cabang perniagaan Kumpulan One Drop yang turut terbabit dalam bidang pembuatan haruman, telekomunikasi, pembangunan harta, pembinaan, rangkaian kasut, pakaian serta perkhidmatan kewangan yang melangkau pasaran United Kingdom (UK) dan Eropah.

Wanita kecil molek berusia 32 tahun itu kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan One Drop namun dia mengakui perjalanan kariernya memang unik kerana semuanya berlaku tanpa dirancang.

Sewaktu kanak-kanak, Zetty bercita-cita menjadi peguam disegani dan membuka perniagaan sendiri.

Namun, cita-cita itu tidak kekal lama kerana sebaik selesai Sijil Pelajaran Malaysia, minatnya beralih kepada seni bina. Dia mengikuti pengajian Diploma Senibina di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menyambung ke peringkat ijazah di Universiti Cardiff, UK.

Selepas tamat pengajian, Zetty berkata, dia tidak segera pulang ke tanah air sebaliknya bekerja di sana sebagai arkitek di sebuah syarikat terkemuka.

ODP adalah satu cabang perniagaan milik keluarga. Oleh kerana dia sentiasa ingin menggunakan pengetahuan yang diperoleh dan ingin belajar lebih banyak mengenai selok-belok perniagaan, dia menerima jawatan sebagai Pengarah Eksekutif One Drop Sdn Bhd di UK.

"Memang pada mulanya agak sukar memahami perniagaan berkenaan kerana ia bukan bidang saya tetapi dengan tunjuk ajar daripada keluarga, saya sedikit demi sedikit mempelajari selok-belok bidang ini.

"Selepas mendapat kepercayaan daripada lembaga pengurusan, saya menerima jawatan sebagai pengarah untuk memantau pasaran di UK terlebih dulu sebelum menyertai pengurusan untuk pasaran tempatan," katanya.

Mengenai cabaran bergelar pengarah eksekutif kumpulan, pada usia yang muda, Zetty berkata, dia menyukai kerjaya itu dan tiada masalah menguruskannya.

"Jika kita menyukai apa yang dilakukan, ia secara semula jadi akan menjadi mudah untuk diuruskan," katanya menambah, seluruh kumpulan syarikat itu kini memiliki seramai 150 kakitangan dengan 14 produk sehingga kini.

Dia mengakui bukan mudah menjadi seorang ketua wanita yang baik kerana selain fikiran sendiri, bos juga perlu mendengar pendapat kakitangan.

"Saya tidak berkeras dengan staf dan memberi mereka sepenuh kebebasan melakukan kerja kerana pekerja perlukankepercayaan daripada pihak atasan.

"Bagaimanapun, ada sesetengah perkara saya tidak akan berkompromi kerana tidak mahu mereka mengambil kesempatan.

"Amat mustahak untuk jadi seorang ketua yang fleksibel dan sesekali tidak salah berbual kosong selain daripada membincangkan soal kerja," katanya.

Zetty berkata, setiap hari dilalui adalah cabaran baru kerana dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada keesokan harinya.

Namun, cabaran paling hebat ketika melebarkan sayap perniagaan ODP ke pasaran UK. Dia terpaksa menukar pembungkus haruman itu bagi menepati cita rasa pasaran antarabangsa dan memastikan ia berada pada aras yang sama seperti jenama wangian popular lain.

Katanya, masyarakat Barat cerewet dalam membeli barangan kerana mereka mahukan produk berkualiti setanding harga yang dibayar.

"Bukan mudah untuk memperkenalkan haruman ini kepada masyarakat Barat kerana kami terlebih dulu perlu menjelaskan dengan mendalam mengenai kelebihan produk berkenaan kepada mereka.

"Namun, selepas mereka mencuba, rata-rata mereka memberi maklum balas positif kerana selain dijual pada harga yang berpatutan, ODP diterima kerana kualiti harumannya yang setaraf dengan wangian terkenal dan tahan lama," katanya

Rangkaian haruman ODP istimewa kerana formulasinya dihasilkan pakar dari Perancis menjadikan formula tanpa alkohol One Drop Perfumes sempurna tanpa menjejaskan keaslian wangian itu.

Zetty rasa bertuah kerana memiliki pakar yang pernah bekerja di bawah syarikat gergasi wangian jenama terkemuka antarabangsa dan kini bekerja di bawah One Drop.

"Kilang haruman ODP di negara sudah pun mempunyai taraf amalan pengilangan baik yang menjamin produk berkualiti, bersih, halal dan sentiasa dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya yang turut merancang mahu mengeluarkan beberapa produk baru tahun ini.

Berdasarkan pengalamannya, Zetty berkata, masyarakat di Eropah memegang teguh kepada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Mereka jarang menghabiskan waktu malam di pejabat semata-mata untuk menyiapkan tugasan. Pekerja di sana boleh membuat kerja dari rumah tanpa boleh dipersoalkan sekiranya berlaku kecemasan seperti anak atau anggota keluarga yang sakit.

"Tinggal di luar negara banyak memberi pengajaran kepada saya bahawa banyak yang perlu diutamakan selain tuntutan kerja.

"Memang wang penting untuk kesenangan tetapi ia bukanlah segala-galanya," katanya.

Wanita yang lahir dan dibesarkan di Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Convent, sebelum memasuki Kolej Tunku Kurshiah.

Ketika kecil, dia tidak begitu menggemari patung mainan seperti kanak-kanak perempuan lain tetapi lebih kepadapermainan lasak seperti galah panjang dan selipar tiga.

Walaupun mengakui jarang mengalah dengan adik-beradiknya ketika itu, hubungan mereka sangat akrab kerana mereka bersekolah di sekolah rendah yang sama.

Katanya, oleh kerana sikapnya yang kasar serta jarang mahu mengaku kalah, kakaknya sering menjadi mangsa dan mengalah demi menjaga hatinya.

"Saya memang tegas dan jarang mengaku kalah sejak kecil. Sikap itu terbawa-bawa hingga sekarang kerana jika mahu melihat sesuatu itu berjaya, saya akan berusaha sedaya yang boleh," katanya.

Zetty turut mengakui, dia seorang wanita yang suka mengambil risiko dan mempunyai pemikiran sendiri. Jika berasa ada sesuatu yang tidak betul, dia pastikan suaranya didengari.

"Saya seorang yang sangat mudah didekati dan cepat mesra dengan orang meskipun baru dikenali.

"Jadi, saya memang tiada masalah bercampur dengan orang dari pelbagai latar belakang berbeza," katanya yang mengakui secawan kopi sehari mampu menceriakan harinya.

Biarpun terpaksa berulang-alik antara UK dan Malaysia dengan kerap, ia tidak memberi banyak masalah kepadanya kerana dia gembira dengan apa yang dilakukan sekarang.

Penat kerana terpaksa berbelas jam berada dalam penerbangan sedikit berkurangan kerana dia membawa bersama anaknya setiap kali pulang ke Malaysia.

"Selain dapat bertemu dengan keluarga, saya juga mahu anak membiasakan diri dengan kehidupan berkenaan," katanya.

Dia percaya keseimbangan terhadap kerjaya serta kehidupan peribadi amat penting tetapi pada masa sama, berasa amat bertuah kerana mempunyai suami yang sangat memahami.

Kebanyakan masanya dihabiskan di London untuk menguruskan perniagaan namun walau bagaimana sibuk sekali pun, dia tetap berusaha mencuri masa untuk keluarga tersayang dan teman rapatnya.

Dia tidak mempunyai pembantu rumah di London dan melakukan sendiri semua tugas termasuk mengemas rumah dan memasak untuk keluarga.

Oleh kerana Malaysia lapan jam ke depan berbanding waktu London, dia sudah biasa tidur lewat kerana perlu membuat panggilan atau menjawab e-mel dari Malaysia yang memerlukan jawapan segera.

"Jika ada masa terluang, saya dan suami membawa anak perempuan kami berusia empat tahun melancong ke pelbagai tempat menarik bagi mendedahkan dirinya dengan kepelbagaian budaya yang ada.

"Selain itu, saya sering keluar bertemu rakan sama ada sekadar untuk makan malam, membeli-belah mahupun menikmati rawatan spa bersama. Aktiviti sebegini bukan saja menghilangkan tekanan malah turut meluaskan rangkaian kenalan," katanya yang mengakui kecanggihan teknologi hari ini sedikit sebanyak membantunya untuk sentiasa berhubung dengan keluarga dan kakitangan di Malaysia.

Sumber: Berita Harian


5. Norulnaha binti Abdul Razak(Pengarah Urusan Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa)
TIDAK rugi jika kita mempelajari kemahiran baru walaupun sudah bergelar profesional dan selesa dengan kerja sedia ada.

Siapa tahu, kemahiran baru yang kita pelajari itu mampu membuka satu lagi pintu rezeki kepada kita.

Itulah yang dibuktikan Norulnaha Abdul Razak, yang mana kira-kira 20 tahun lalu membahagikan masa antara tugasnya sebagai seorang guru, pada masa sama mengikuti kursus kecantikan di sebuah akademi di ibu negara untuk mendapatkan kemahiran hidup yang baru.

Yakin dengan potensi besar dalam bidang itu, beliau sanggup mencuri masa melengkapkan kursus kecantikan itu biarpun terpaksa mengambil tempoh agak lama iaitu lebih daripada tiga tahun kerana melakukannya secara sambilan.

Ternyata usahanya tidak sia-sia, Diploma Kecantikan yang diperoleh dari Dewi Ayu Akademi di Taman Tun Dr Ismail dengan bayaran kursus RM3,000, benar-benar mengubah kehidupannya .

"Saya nampak bidang ini ada potensi ekonomi yang besar. Daripada pengamatan sendiri, saya dapati orang tidak berkira sangat mengeluarkan wang ringgit asalkan mereka kelihatan cantik.

"Jadi kenapa tidak saya menceburi perniagaan ini," katanya ketika ditemuinya di pejabatnya di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Keazamannya untuk menceburi perniagaan dalam bidang itu juga disebabkan di waktu awal pembabitannya dalam bidang perniagaan kecantikan pada 1980-an, tidak ramai usahawan Bumiputera yang mengusahakan pusat rawatan kecantikan, salun rambut dan spa meskipun perniagaan itu memberikan pulangan lumayan.

"Saya merasakan bidang ini bukan sesuatu yang terlalu sukar untuk dilakukan, ia hanya memerlukan sedikit kemahiran, jadi kenapa kita tidak melakukannya," katanya yang turut memiliki sijil kemahiran solekan dan gaya rambut yang membolehkannya menawarkan latihan dalam bidang itu.

Sebaik mendapat kemahiran dalam bidang yang diminatinya dan berbekalkan Diploma Kecantikan, beliau terus memanfaatkannya untuk menambahkan pendapatan.

"Saya mempunyai cita-cita dan keazaman yang tinggi dalam hidup. Inginkan rumah sendiri misalnya biarpun mempunyai suami, mahukan bangunan sendiri dan sebagainya.

"Inilah yang mendorong saya untuk memulakan perniagaan," katanya.

Disebabkan misi dan wawasan yang tinggi itu jugalah, beliau terus berusaha mempunyai perniagaan sendiri biarpun bermula secara sambilan dan pada skala kecil.

Norulnaha yang kini ialah Pengarah Urusan, Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn Bhd yang ditubuhkannya pada 2000 selepas bersara daripada guru, sebenarnya bermula hanya secara kecil-kecilan di rumahnya di Bangi.

"Pada mulanya saya hanya menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan kepada kenalan rapat di rumah sendiri dan juga dari rumah ke rumah.

"Namun dalam masa singkat, sambutan diterima amat memberangsangkan dan rumah saya sentiasa penuh dengan pelanggan sehingga menyebabkan saya terpaksa membuka kedai dengan modal RM500 saja," katanya menceritakan pembabitan awalnya dalam industri kecantikan sehingga menjadi antara usahawan wanita berjaya pada hari ini.

Modal RM500 itu katanya, digunakannya untuk membeli dua katil dan dua troli bagi melakukan rawatan wajah serta bahan rawatan kecantikan di kedainya.

Pada peringkat awal beroperasi di kedai itu, beliau mengakui tugasnya sebagai guru ketika itu menyebabkan masanya agak terhad dan sukar baginya membuka cawangan di tempat lain meskipun ada keperluan bagi tujuan itu.

Tidak mahu tugasnya di sekolah membataskan program pengembangan perniagaannya, Norulnaha mengambil keputusan membangunkan satu prosedur operasi seragam (SOP) bagi salun kecantikannya itu.

"Apabila sudah ada SOP, saya tidak perlu ada di kedai sepanjang masa. Saya boleh melatih orang lain untuk melakukan rawatan berdasarkan SOP yang saya bangunkan itu.

"Hasil daripada usaha itu juga, saya berjaya membuka cawangan di Klang dan Temerloh," katanya.

Malah dengan SOP yang dibangunkan itu juga, beliau kini boleh menawarkan peluang perniagaan sebagai usahawan spakecantikan kepada orang lain menerusi konsep francais.

Hari ini, Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa miliknya turut mengeluarkan produk sendiri serta menjadi pemegang lesen produk dan francais Malaysian Holistik Spa di bawah jenama Nu´della.

Produk jenama Nu´della yang dihasilkan mengikut prinsip Islam itu kini digunakan di 16 rangkaian Butik KecantikanAinaa-Ailaa di seluruh negara.

Malaysian Holistik Spa turut memiliki hak intelek bagi program rawatan spa `Tuah Body Therapy´ untuk lelaki, pakej rawatan spa `Teja Body Therapy´, Seri Ratu dan Permaisuri untuk wanita.

Anak syarikat Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa iaitu Nu´della Image Sdn Bhd pula mengendalikan akademi kecantikan, Nu´della Akademi yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang kecantikan.

Kepelbagaian perniagaan itu membolehkan Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa yang mengambil sempena anak Norulnaha sendiri, muncul menjadi sebuah perniagaan dengan pulangan jutaan ringgit.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengecap kejayaan seorang sendiri yang mendorongnya membuka Nu´della Akademi.

Langkahnya membuka sekolah latihan dalam bidang kecantikan itu antaranya bagi membuka peluang kepada lebih ramai lepasan mendapat kemahiran dalam bidang itu.

"Saya mahu mengubah persepsi masyarakat kita yang menganggap bidang kemahiran ini sebagai laluan kedua kepada mereka yang tidak cemerlang dalam pelajaran.

"Sebenarnya ini salah, dengan kemahiran itu mereka boleh membuka perniagaan sendiri yang mampu memberikan pulangan lumayan," katanya.

Malah katanya, ada juga pelajar yang mengikuti kursus di akademi itu adalah lulusan universiti yang kini sudah berjaya membuka salun kecantikan sendiri.

Mengenai rahsianya terus maju dalam bidang itu, Norulnaha menjelaskan usahawan dalam bidang itu perlu sentiasa melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan baru dan melakukan penyelidikan pasaran.

"Kita perlu tahu apakah teknologi terkini yang digunakan, mesti tahu corak permintaan industri dan menjadi peneraju pasaran," katanya.

Selain itu, beliau juga berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu perniagaan itu perlu diwariskan kepada anak-anaknya supaya perusahaan yang dibangunkannya terus berkembang sampai bila-bila.

"Saya ingin membudayakan perniagaan itu adalah kehidupan," kata ibu empat anak itu.

Kejayaannya juga menyebabkan spa kecantikan miliknya yang beroperasi di bangunan milik sendiri yang dibelinya pada 1998 itu turut diintai pelabur luar negara yang berminat dengan konsep francais yang dibangunkannya.

Dengan cara itu, katanya beliau meninjau pasaran luar negara terutama di negara Islam bagi memperkenalkan konsepspa kecantikan berlandaskan Islam di bawah sistem francais.

Bagaimanapun katanya, perkara itu masih pada peringkat perbincangan dan perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia membabitkan pelaburan yang besar.

"Apa yang saya ingin lakukan adalah dengan menjadi francaisor yang mana dengan cara ini saya dapat memperkenalkan konsep spa Malaysia di luar negara," katanya.

Sumber: Berita Harian

6. Datin paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir(Pengarah Urusan, Kumpulan Perubatan Johor Berhad (KPJ Healthcare Berhad).

Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir adalah Pengarah Urusan, Kumpulan Perubatan Johor Berhad (KPJ Healthcare Berhad). Meskipun bukan doctor, wanita yang berasal dari Mersing, Johor itu adalah orang nombor dua terpenting dalam organisasi besar itu. KPJ Healthcare Berhad berjaya membangunkan 17 buah hospital swasta di seluruh Negara, dua buah di Indonesia dan sebuah lagi di Bangladesh.

                Perjalanan karier Datin Paduka Siti Sa’adiah bermula pada tahun 1974. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya, beliau menyertai Johor Corporation  Berhad (JCorp) yang ketika itu dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ). Beliau bertugas di Bahagian Prisihatin sejak 1978 dan mula menyandang jawatan Ketua EKsekutif, KPJ Sdn. Bhd. Sejak 1989.Pengalaman Datin Paduka Siti Sa’adiah dalam menguruskan hospital bermula dengan pembinaan Johore Specialist Hospital.

                Datin Paduka Siti Sa’adiah minat membaca, suka berkongsi pengetahuan dan rajin menambah ilmu. Beliau rajin berbincang dengan pra pegawainya sebelum membuat keputusan selain mengamalkan sikap telus. KPJ Berhad berkembang pesat. Syarikat itu memiliki asset bernilai lebih RM800 juta. Keuntungan sebelum cukainya mencecah RM32.5 juta menerusi pendapatan hampir RM500 juta.

                Antara hospital lain yang dikendalikan KPJ Berhad adalah Damansara Specialist Hospital dan Ampang Puteri Specialist Hospital. Di luar Negara, ia mengendalikan beberapa hospital lagi seperti United Hospital di Bangladesh, RS Selasih di Sumatera serta RS Medika Permata Hijau dan RS Bumi Serpong Damai di Jakarta.


7. Datin Sharifah Anisah Tan Sri Dato’ Syed Agil Barakbah (Nona Roguy)
Nama Datin Sharifah Anisah sangat sinonim dengan Nona Roguy. Ia jenama produk kesihatan terkenal berasaskan herb dan berkonsep tradisional. Beliau adalah pengasas dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Nona Roguy bermaksud “bebas daripada penyakit” dalam bahasa Sanskrit. Keluarga Datin Anisah yang berasal dari Kedah mewarisi kaedah menjaga kesihatan tradisional yang diamalkan secara turun- temurun sejak zaman moyang beliau, Sharifah Alawiyah Barakbah.

                Anak kepada bekas hakim ini pada awalnya adalah pelukis. Datin Anisah berkelulusan ijazah sarjana muda dari Royal Academy of Fine Arts di Murich, Jerman. Kerana minatnya yag tinggi dalam perubatan herba, beliau berusaha mendalami bidang itu. Penglibatan Datin Anisah bermula pada pertengahan tahun 1960-an di atas permintaan teman-teman yang meerlukan bantuannya. Perawatan tradisional yang beliau amalkan terbukti dapat mengubati sebahagian daripada penyakit yang tidak dapat dirawat dengan cara perubatan moden.

                Selain mengeluarkan pelbagai produk kesihatan, Nona Roguy juga menyediakan khidmat merawat pengantin, menjaga diri selepas bersalin, rawatan pelbagai masalah sakit puan seperti  ketumbuhan fibroid, ketidakseimbangan hormone, sakit meroyan dan banyak lagi. Pada tahun 1983, Datin Anisah membuka pusat rawatan di Ampang dengan jenama Sari Rapi. Di pusat itu beliau menawarkan rwatan medic spa (spa perubatan) dan wellness spa (spa kesihatan). Rawatan yang disediakan disokong dengan khidmat perunding kesihatan yang terlatih. Datin Anisah juga memperkenalkan jamu Melayu kepada para pelanggannya yang terdiri daripada berbilang kaum. Pada tahun 1990 Datin Anisah berpindah ke Damansara dan membuka pusat rawatan yang lebih besar. Pada tahun 1995 pula, gedung herba Nona Roguy dibuka di Bangsa Baru.

                Kumpulan Syarikat Nona Roguy yang ditubuhkan pada tahun 1993 menjalankan aktiviti pemasaran dan rawatan. Pengeluaran produk pula dijalankan di kilang mereka, Mustajab Industries, di Kawasan Perindustrian Mergong, Alor Setar, Kedah. Kakak Datin Anisah, Puan Hajjah Sharifah Rogayah Barakbah adalah Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan yang bertanggungjawab menentukan kualiti pengeluaran produk di kilang itu.

                Pusat rawatan Nona Roguy di pilih sebagai model spa Melayu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerap kali dilawati pegawai-pegawai kesihatan dari pelbagai organisasi termasuk WHO. Adalah dibanggakan juga, Datin Anisah Berjaya menonjolkan kegemilangan spa Melayu di peringkat antarabangsa. Selain menyediakan spa tradisional Melayu di hotel bertaraf lima bintang di Malaysia seperti The Pangkor Island Resorts, The Tanjong Jara Resorts, dan The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, beliau juga diundang mengadakan promosi seni spa Melayu di The Horrods, London sebanyak dua kali pada tahun 2005 dan 2006.

                Datin Anisah berminat dalam merungkai rahsia perubatan Melayu dalam konteks sains dan teknologi. Beliau banyak membaca dan mengkaji bagi mendapatkan maklumat dan perbandingan antara perubatan tradisional dan perubatan moden. Atas usaha itu, beliau sering disebut sebagai jambatan terakhir bagi menghubungi falsafah dan prinsip perubatan tradisional dengan dunia perubatan moden.

                Dengan pengetahuan beliau yang mendalam dalam perubatan herba, Datin Anisah selalu diundang memberi syarahan di universiti dan hospital. Beliau juga dilantik sebagai pakar rujuk bagi bidang peubatan herba dan rawatan tradisional di dalam dan luar Negara, selain menjadi anggota panel kepada beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia bagi menyediakan dan mebangunkan standard dan kurikulum yang sesuai bagi pembelajaran bidang perubatan tradisional dan komplementari.

                Produk keluaran Nona Roguy dipasarkan kepada para pelanggan menerusi system jualan langsung. Kini terdapat lebih 150 stokis Nona Roguy di seluruh Negara. Selain pasaran tempatan, produk Nona Roguy juga dieksport ke luar Negara. Jenama Nona Roguy juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diberi anugerah SUPERBRANDS pada tahun 2005 dan anugerah Commercial Prestige dari Rome, Italy daripada segi kecemerlangan perkilangan.

                Datin Anisah membuat sumbagan yang besar kepada dunia perubatan herba dan melonjakkan imej industri itu di peringkat antarabangsa. Beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Industri Sederhana dan Kecil, Malaysia dan juga Naib Presiden, Persekutuan Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (PUTRAMAS).

                Datin Anisah juga berjaya memperkenalkan kembali istilah dan konsep asli yang mencerminkan keindahan dan kegemilangan seni perubatan dan rawatan Melayu. Ini termasuk mengemukakan kembali nama bahagian anatomi Melayu yang asal yang sekian lama diabai dan dilupai oleh masyarakat Melayu moden, seperti nama sebenar jamu dalam masyarakat Melayu zaman dahulu iaitu ramu dan bukannya jamu (pinjaman daripada Indonesia).

                Dalam usaha menbudayakan aktiviti penulisan berkenaan seni perubatan tradisional Melayu, Datin Anisah mula membukukan pengalaman dan pengetahuan beliau. Terbaru Datin Anisah menghasilkan sebuah buku bertajuk Ensiklopedia Perbidanan Melayu. Buku itu menghimpunkan segala petua dan amalan perubatan Melayu untuk panduan generasi baru. Impian Datin Anisah adalah ingin melihat ilu perubatan Melayu diamalkan sepanjang zaman oleh masyarakat di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

                Dengan visi menjadikan perubatan Melayu sebagai satu system perubatan dan rawatan yang diiktiraf di seluruh dunia, Datin Anisah berharap Nona Roguy dapat menjadi antara jenama berpengaruh dalam industri herba dunia menjelang 2010. 


8. Dato’ Siti Nurhaliza (Pengarah SimplySiti)

Usahawan yang dibicara ini Penyanyi No 1 Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza. Pelancaran produk kosmetik dan penjagaan kulit jenamanya sendiri iaitu “SimplySiti” sememangnya mendapat sambutan hangat daripada peminat beliau yang pastinya sangatlah ramai di seluruh negara termasuk di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pelaburan besar telah dibuat untuk menghasilkan produk kecantikan bermutu merangkumi penjagaan kulit SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution selain Krim Simply 5 yang istimewa. Harapan ahli perniagaan muda ini adalah supaya produk sulung beliau mampu menembusi pasaran negara luar terutama jiran terdekat iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia selain Timur Tengah memandangkan ia diiktiraf halal oleh Jakim. Ini penting kerana majoriti bakal pembeli produk ini adalah terdiri daripada golongan orang islam.
Memanfaatkan pengalaman menjadi duta produk kecantikan seperti Maybelline & Pantene, semua produk SimplySiti dipasarkan di lebih 200 rangkaian farmasi Watson seluruh negara dan pasar raya Jusco. Kehadiran suami beliau, Dato’ Khalid sebagai rakan kongsi yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan sememangnya membantu menjayakan perniagaan kosmetik beliau.
Mesti ramai yang ingat produk ini hanya sekadar untuk menambah satu lagi punca pendapatan figura terkenal ini. Tak mungkin beliau sendiri memakainya. Betul? Stigma itu salah! Dato’ Siti telah menggunakan dan menguji produk yang diproses ketika R&D dijalankan selama 6 bulan sebelum ianya berjaya dipasarkan kepada orang ramai.

Menggunakan khidmat ahli saintis dari Korea, bahan-bahan yang digunakan dalam produk SimplySiti semuanya berunsurkan bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak daun Prunella Vulgaris yang mampu merawat semuala luka dan radang kulit. Sepertimana yang diketahui, Korea merupakan pusat pembikinan dan pembuatan produk kosmetik yang terunggul di dunia, Dato Siti dan pasukannya telah membawa beberapa ahli saintis Korea ke Malaysia untuk mengkaji dan merasai cuaca di sini supaya mereka faham masalah dialami oleh wanita-wanita di Malaysia. Hebat, bukan?

Tetapi ini tidak bermaksud percaturan beliau lancar. Baru-baru ini produk kosmetik SimplySiti dikatakan mengunakan berus bulu babi dalam produknya. Menjawab spekulasi yang mampu menggagalkan perniagaan sekaligus mencemarkan imej baik yang dipelihara beliau, Dato’ Siti menafikan dakwaan tersebut dengan segera. Sejurus selepas itu, dalam masa beberapa hari sahaja, kesemua produk keluaran syarikat tersebut disahkan secara rasmi telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebelum dipasarkan kepada umum. Alah bisa tegal biasa lah katakan kalau menghadapi dugaan ketika berniaga kan?
Dan seperti yang boleh diagak, jualan produk SimplySiti sangat memberansangkan walaupun baru satu bulan ia dilancarkan. Dato Siti lah katakan, personaliti yang hebat, kareer yang mantap, sudah tentu jualan pun mengkagumkan.         


9. Datin Nor Zaina Abdul Ghani(Aura Seri)

MEMULAKAN kerjaya sebagai pembantu pengurusan di sebuah hotel di Pulau Pinang 11 tahun lalu, Datin Nor Zaina Abdul Ghani, 32, kini boleh berbangga dengan pencapaiannya sebagai Pengarah Urusan Positive Image. Syarikat itu terkenal dalam bidang kecantikan dan spa khususnya di bawah jenama Aura Seri.
Nor Zaina juga pernah tersenarai dalam Anugerah Mentor menerusi program Peruncitan Mara, finalis Wanita Ikon 2007 anjuran majalah Wanita dan tercalon dalam Glamorous Woman 2007 oleh majalah Glam.
“Dulu saya bukanlah seorang yang suka berniaga. Saya takut dan malu berdepan dengan orang, inikan pula untuk menjual barang,” katanya mengimbas kenangan ketika beliau berusia 20 tahun dan bekerja di hotel.
Namun, menurut Nor Zaina, di situ jugalah beliau bertemu bakal suami, Profesor Datuk Dr. Ibrahim Ahmad, yang bekerja di hotel yang sama. Kini Ibrahim, 42, merupakan seorang pakar motivasi.
Perkahwinan yang dilayari pada usia muda itu bagaimanapun menghadapi ujian selepas suaminya berhenti kerja, diikuti Nor Zaina sendiri atas alasan mahu mencari kerja lain.
“Tidak lama kemudian, kami tiada langsung sumber pendapatan. Kebetulan pula saya sedang mengandung anak pertama, Mohd. Danish Irfan.
“Jadi segala perbelanjaan isi rumah kami bergantung pada duit simpanan suami. Malah kami terpaksa menumpang di rumah ibu saya,” ujarnya.
Selepas berhenti kerja, pelbagai pekerjaan lain telah mereka cuba termasuk menjalankan perniagaan jualan langsung.
“Bukan itu saja, saya juga pernah jual kain dari rumah ke rumah dan menjual lidi sate untuk mendapatkan wang,” kenang beliau.
Menumpang di rumah ibu
Sungguhpun telah berusaha, pasangan ini masih hidup susah. Bahkan menurut Nor Zaina, beliau hampir disuruh berpisah dengan suami kerana keluarga tidak suka dengan keadaan mereka pada masa itu apatah lagi sudah setahun mereka menumpang di rumah ibu Nor Zaina.
“Oleh kerana takut bergelar janda, saya kuatkan hati dan ikut suami. Dalam masa yang sama, suami juga mendalami ilmu dalam bidang perubatan alternatif,” kata wanita kelahiran Bagan Serai, Perak ini.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan hidup beliau, Nor Zaina mengatakan suaminya banyak membantu dalam menjadikan siapa dirinya kini.
“Saya memang tak nak terlibat dalam bisnes. Jadi pada masa itu agak sukar bagi suami untuk meyakinkan saya. Tapi kerana percayakan kebolehan saya, dia terus mendorong,” luahnya.
Pada masa itu, Ibrahim sudah pun menubuhkan Positive Mind Resources iaitu sebuah syarikat motivasi.
“Saya masih ingat pertama kali kami buat kursus, hanya seorang yang hadir walaupun yurannya cuma RM150.
“Tapi kini Alhamdulillah setiap kali kami mengajurkan kursus, perolehan kami lebih daripada yang dijangkakan,” ujar Nor Zaina.
Setelah berada dalam keadaan yang agak selesa, pasangan ini berhijrah ke Kuala Lumpur. Kursus pertama yang mereka anjurkan di bandar raya ini berjaya memperoleh kira-kira RM41,000.
Beli produk dapat insurans
“Bermula dari situlah kami bertapak di sini dengan membuka pejabat di Gombak, Selangor. Kemudian, kami keluarkan produk Aura Seri iaitu Aura Seri Wajah dan Aura Genius,” tuturnya yang sememangnya ringan mulut.
Bagi ibu kepada dua orang anak ini, naik turun dalam hidup adalah satu percaturan.
“Dalam perniagaan, strategi kena betul. Saya akui turut terlibat dalam bidang hiburan untuk memperluaskan empayar niaga.
“Bukan untuk menjadi terkenal sebaliknya demi kebaikan kedua-dua pihak,” jelasnya yang banyak menganjurkan karnival amal untuk anak-anak yatim.
Kini, setelah empat tahun terlibat dalam perniagaan, lebih banyak produk yang dihasilkan Aura Seri.
Terbaru, satu produk perlindungan khusus bagi kaum wanita dihasilkan termasuk pembiayaan insurans selama setahun.
“Bagi setiap pembelian produk Aura Seri Nur, pengguna akan ditawarkan insurans perlindungan percuma sehingga RM10,000 untuk tempoh setahun.
“Ini adalah satu-satunya produk kosmetik yang menawarkan insurans kepada wanita dalam jumlah yang amat memadai,” katanya ketika ditemui di Aura Seri Spa & Beauty di Gombak.



10. Datuk Aliff Syukri Kamarzaman (D'Herbs)
MEMILIH slogan Terlajak Laris, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bertekad untuk menjadikan produk D'Herbs Healthy Sdn Bhd terus laris di pasaran dan menjadi pilihan setiap orang.
Sebagai pengasas produk kosmetik paling muda di Malaysia, kini berusia 25 tahun, Aliff Syukri tidak pernah ketandusan idea bagi memajukan lagi perniagaan yang sudah tiga tahun bertapak di Malaysia.
Hasil kerja keras beliau, hari ini produk D'Herbs Healthy Sdn Bhd menjadi jenama yang mencetuskan fenomena di dalam industri herba kesihatan dan kosmetik di negara ini.
Bertemu dengan ayah kepada tiga orang cahaya mata ini di pejabat beliau di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, ternyata beliau seorang yang begitu peramah dan tidak meninggi diri.
Mungkin juga ini yang menjadikan beliau begitu disenangi di kalangan mereka yang terlibat dengannya seperti stokis, pengedar, pengguna juga kakitangannya sendiri.
Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik ini, beliau bersyukur kerana hasil kerja yang tidak pernah mengenal penat, kini D'Herbs Healthy Sdn Bhd mempunyai seramai 6,000 orang stokis di seluruh negara.
''Sehingga ke hari ini, kami telah mengeluarkan sebanyak 60 jenis produk yang khusus untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
''Slogan 'Terlajak Laris dengan tidak secara langsung memberikan motivasi kepada saya untuk terus mengeluarkan produk terbaru untuk pengguna yang sentiasa mahukan sesuatu yang baru.
''Produk terbaru D'Herbs Healthy Sdn Bhd ialah pewarna rambut super lebat yang wajib dicuba. Terdapat dalam warna hitam dan perang, keistimewaan pewarna rambut ini ialah ia diadun khusus untuk lelaki dan wanita Islam yang mementingkan kesucian dan kebersihan.
''Menggunakan bahan utamanya, iaitu inai (mountain rose herbs), bahan-bahan campuran lain ialah kelopak bunga raya, bunga marigold, teh kamomil dan daun rosemary.
''Justeru itu pengguna tidak perlu bimbang kerana tiada bahan kimia yang terdapat di dalamnya yang boleh menjejaskan kesihatan. Paling penting produk ini halal dan boleh dibawa sembahyang. Pewarna rambut ini memang berkesan dan pihak kami sanggup memulangkan wang jika pengguna mendapati ia tidak berkesan,'' kata Aliff Syukri yang dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang.
Tambah beliau lagi, walaupun baru tiga bulan di pasaran namun sambutan yang diterima daripada seluruh negara terhadap pewarna rambut ini memang amat memberangsangkan.
Beliau berkata, satu lagi produk yang merupakan antara produk terlaris D'Herbs Healthy Sdn Bhd ialah minuman jus kesihatan berherba Gamolex Gold.
Minuman jus kesihatan Gamolex Gold yang dijual pada harga RM88.80 ini kata beliau, boleh membantu merawat 1001 jenis penyakit seperti lemah jantung, kencing manis, kolestrol, sakit sendi, sakit lutut, osteoporosis, strok, asma, gout, prostat dan lemah tenaga batin.
Menceritakan pengalaman ngeri yang menimpa beliau tidak lama dulu Aliff Syukri berkata, peristiwa ditimpa kemalangan yang menyebabkan mukanya hampir hancur dan hidung patah, menjadi titik permulaan kepada terciptanya minuman jus kesihatan Gamolex Gold.
''Doktor memberitahu kecederaan di muka saya memang teruk dan mengambil masa yang lama untuk pulih. Saya teringat tentang keistimewaan gamat dan kemudian meletakkan lendir gamat pada muka saya.
''Ternyata ia amat berkesan dan Alhamdulillah luka pada muka saya semakin sembuh dalam masa dua minggu sahaja sedangkan doktor berkata proses penyembuhan mengambil masa selama tiga bulan.
''Daripada situ, saya meminta seorang saintis untuk membuat kajian dan menghasilkan satu produk yang berkesan untuk membantu menyembuhkan luka dan penyakit. Dan lahirlah Gamolex Gold.
''Gamolex Gold mengandungi campuran 30 jenis herba dan kesannya sudah boleh dilihat pada pengambilan satu botol atau penggunaan satu atau bulan sahaja. Namun sebaiknya diteruskan bagi mendapatkan hasil yang lebih memuaskan,'' ujar Aliff Syukri yang menyasarkan pada pengguna yang berpendapatan sederhana.
Beliau turut memberitahu bahawa D'Herbs Healthy Sdn Bhd yang mempunyai kilang sendiri, iaitu Aliff Herbs Manufacturing di Kuala Selangor akan mengeluarkan satu lagi produk baru dalam masa terdekat ini serta membuka sebuah spa di Damansara.
Langkah tersebut adalah untuk melindungi pengguna daripada tertipu dengan bahan-bahan yang tidak selamat dan merbahaya pada kesihatan.
Beliau menjelaskan, selain berniaga, harapan beliau adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan sederhana dan dalam masa yang sama tidak membebankan pengguna.
Katanya, D'Herbs membuka peluang kepada semua untuk menjadi usahawan atau pengedar dengan modal serendah RM350 sahaja. Keuntungan yang diperoleh adalah di antara 30 hingga 40 peratus. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi stokis negeri atau ibu pejabat.
Bercerita lebih lanjut, Pengarah Urusan D'Herbs ini berkata, sebagai menghargai usaha para stokis, pengedar dan pengguna, pihaknya akan mengadakan Malam Gala D'Herbs yang bertemakan Semalaman Di Los Angeles pada 27 April ini bertempat di Sunway Lagoon Resort Hotel.
Seramai 1,500 orang stokis, pengedar dan pengguna dijangka hadir. Turut dijemput ialah pengasas kosmetik yang lain.
Pada malam itu nanti, pihak D'Herbs akan menyampaikan anugerah kepada pengedar dan pengguna yang mencapai tahap jualan yang tinggi.
Selain berpeluang beramah mesra dengan beliau sendiri, para hadirin akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis terkenal seperti Anuar Zain, Adira, Misha Omar dan Bienda.
Aliff Syukri berkata, ini merupakan malam gala pertama yang diadakan oleh D'Herbs Healthy Sdn Bhd.
''Pada tahun-tahun lalu, pihak kami hanya mengadakan bengkel-bengkel kecantikan di seluruh negara. Namun tahun ini, kami mempunyai peruntukan dan kami ingin berkongsi dengan mereka yang telah turut memajukan syarikat ini,'' katanya lagi.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130412/ke_01/Aliff-Syukri-cetus-fenomena#ixzz2oVXLi6pt